Friday, February 15, 2008

LARAS BAHASA

1.0 Pengenalan

Laras bahasa adalah salah satu daripada aspek sosiolinguistik iaitu mengenai bahasa dan penggunaannya. Bahasa sentiasa mempamerkan perbezaan dalam penggunaannya yang boleh dikatakan sebagai ragam bahasa. Dalam ilmu sosiolinguistik, ragam bahasa di istilahkan sebagai register atau laras ( Hudson, 1980,hlm. 48) iaitu satu istilah teknik untuk menerangkan perlakuan bahasa (linguistik behaviour) seseorang individu apabila bahasa digunakan.

2.0 Laras Bahasa Secara Umum

Perbincangan mengenai laras bahasa tidak terlepas daripada membincangkan dua konsep, iaitu pengguna dan penggunaan. Pengguna adalah orang yang menggunakan bahasa yang menyebabkan wujudnya dialek. Contohnya adalah seperti dialek Kelantan, Melaka, Kedah, Sarawak dan sebagainya.

Penggunaaan adalah bagaimana sesuatu bahasa itu digunakan secara berbeza-beza dalam pelbagai situasi. Penggunaan bahasa yang berbeza-beza ini melahirkan laras iaitu penggunaan bahasa yang berbeza-beza berdasarkan situasi dan faktor lain yang melahirkan kata-kata yang berbeza mengikut keadaan. Misalnya kata-kata yang digunakan untuk bergurau senda adalah berbeza daripada kata-kata yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu ucapan. Oleh itu, bolehlah dirumuskan bahawa penggunaan bahasa yang berbeza-beza berdasarkan faktor-faktor sosial seperti keadaan dan tempat, disebut juga laras bahasa atau laras sosial. Penggunaan bahasa yang berbeza-beza mengikut faktor geografi atau daerah disebut sebagai dialek daerah.

Laras bahasa boleh didefinisikan sebagai gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Sesuatu laras bermaksud variasi yang ada pada tiap-tiap penutur. Laras bahasa biasanya berubah-berubah mengikut situasi. Ciri-ciri laras yang penting ialah perbendaharaan kata, susunan ayat, dan frasa yang digunakan. Sesuatu laras tertentu digunakan untuk keadaan atau situasi tertentu.

3.0 Konsep Laras

Laras ialah variasi yang berlainan berdasarkan fungsi dan ia sentiasa berubah-rubah mengikut fungsi. Apabila pengamatan dibuat pada perlakuan bahasa yang wujud dalam pelbagai konteks, akan didapati kelainan jenis bahasa yang digunakan yang disesuaikan dengan situasi yang berlainan. Contohnya boleh diperhatikan pada bahan-bahan bacaan yang dibaca seperti teks klasik, novel, cerpen, teks ekonomi, teks sejarah, teks undang-undang dan sebagainya adalah berbeza antara satu sama lain dari segi bahan, susunan ayat, pilihan kata, jalinan fikiran dan sebagainya. Penggunaan bahasa seperti ini adalah dihasilkan oleh laras bahasa yang berbeza.

Terdapat beberapa definisi, iaitu pandangan beberapa orang ahli bahasa tentang pengertian laras bahasa. Halliday (1968), mendefinisikan laras bahasa sebagai variasi bahasa yang berlainan berdasarkan fungsi. Beliau menyatakan laras bahasa berubah-ubah mengikut situasi. Jika diamati perlakuan bahasa yang ada dalam pelbagai konteks, didapati faktor kelainan dan jenis-jenis bahasa yang digunakan disesuaikan dengan situasi yang berlainan.

Ure dan Ellis ( 1977), menganggap laras bahasa sebagai pola bahasa yang lazim digunakan mengikut keadaan tertentu. Hal ini bermakna, sesuatu situasi akan menentukan bentuk bahasa yang digunakan oleh pengguna bahasa itu dan pemilihannya berdasarkan konvensi sosial masing-masing.

Reid (1956), menyatakan seorang penutur dalam situasi berbeza-beza akan menggunakan laras mengikut situasi sosial yang berlainan iaitu istilah teknik untuk menyatakan perlakuan bahasa (linguistic behavior) seseorang individu. Reid juga telah membezakan laras bahasa dan gaya bahasa. Laras bahasa merujuk khusus kepada bidang penggunaan, manakala gaya merujuk kepada cara pengungkapan fikiran, matlamat yang hendak dicapai, suasana yang hendak ditimbulkan, dan suasana yang menjadi latar penggunaan bahasa berkenaan.

Halliday (1968), menyebut bahawa laras sebagai variasi bahasa yang berlainan berdasarkan fungsi. Laras akan sentiasa berubah mengikut situasi. Dia telah membuat penjenisan laras kepada tiga kategori iaitu tajuk wacana (field of discourse), cara penyampaian wacana (mode of discourse) dan gaya wacana (style of discourse).

Brian Seaton (1982) berpendapat laras bahasa ialah satu variasi yang wujud daripada situasi yang berlainan seperti umur, jantina atau tajuk perbualan. Laras juga terdapat dalam sesuatu bidang seperti kewartawanan, perubatan, sains, perniagaan dan sebagainya berbeza sama ada dalam bentuk penulisan atau tulisan. Oleh itu kita akan dapati seseorang itu akan memiliki laras bahasa yang berlainan.

Menurut ahli bahasa tempatan seperti Nik Safiah Karim (1989), laras bahasa berdasarkan penggunaannya, iaitu variasi bahasa digunakan oleh penutur dalam situasi tertentu. Dia menganggap laras bermaksud variasi bahasa yang boleh dipilih daripada sekumpulan variasi yang ada pada setiap penutur. Penggunaan bahasa berubah mengikut konteks, bidang dan juga peringkat sosial.

Asmah Haji Omar (1987), menyatakan laras bahasa mempunyai ciri-ciri khusus dalam penggunaan bahasa menurut bidang penggunaannya. Kelainan atau variasi bahasa yang digunakan mempunyai disiplin ilmu yang berbeza-beza.

Abdullah Hassan (1987), telah mengaitkan laras bahasa dengan pemakaian kata-kata tertentu yang sesuai dengan konteksnya. Pemakaian laras bahasa yang sesuai dianggap pengolahan bahasa yang baik. Bahasa yang digunakan seperti menyampaikan indeks pasaran saham di bursa saham ialah laras ekonomi.

Kesimpulannya, laras bahasa ialah penggunaan bahasa atau pemakaian kata-kata yang khusus untuk sesuatu penggunaan berdasarkan situasi sosial seseorang itu ketika berkomunikasi dengan orang ramai. Penggunaan istilah-istilah khusus yang membezakan antara variasi-variasi bahasa menjadikan sesuatu komunikasi lebih berkesan.

4.0 Ciri-ciri Laras Bahasa

Menurut Nik Safiah Karim (1989), kajian terhadap laras bahasa perlu mempertimbangkan dua faktor yang utama iaitu ciri keperihalan peristiwa bahasa dan ciri linguistik yang wujud . Ciri keperihalan pula dibahagikan kepada dua aspek utama, iaitu situasi luaran dan situasi persekitaran.

Situasi luaran adalah latar belakang sosial dan kebudayaan sesuatu masyarakat bahasa yang merangkumi struktur sosial dan keseluruhan cara hidup yang menentukan perlakuan setiap anggota masyarakat. Contohnya , apabila kita mengkaji laras bahasa masyarakat Melayu lama, kita perlu mengaitkan dengan situasi istana, stratifikasi sosial, tradisi sastera lisan dan aspek-aspek lain anggota masyarakat zaman itu.

Situasi persekitaran pula meliputi aspek-aspek yang terlibat secara langsung dalam penggunaan bahasa. Terdapat empat situasi persekitaran yang menyebabkan wujudnya bahasa yang berlainan atau laras. Situasi yang dimaksudkan ialah cara penyampaian, perhubungan sosial dan peribadi, bahan yang diperkatakan, dan fungsi-fungsi sosial perlakuan bahasa.

Cara penyampaian yang terdapat dalam situasi persekitaran menyebabkan wujudnya kepelbagaian dalam laras bahasa. Cara penyampaian merujuk bentuk perhubungan yang digunakan termasuk jenis bahasa lisan, bertulis, bahasa isyarat dan sebagainya. Bahasa lisan berbeza daripada bahasa bertulis kerana terdapat banyak variasi bahasa bertulis seperti laporan, esei, surat, wawancara, cerpen, karangan, sajak, drama, dan sebagainya. Hasil penulisan pula berkait dengan diri penulis, pembaca dan perkara yang ditulis. Latar belakang penulis membawa perbezaan dalam penghasilan bahasa, penggunaan bahasa, kandungan bahan dan aspek panjang pendek sesuatu peristiwa.

Aspek lain yang menimbulkan laras bahasa yang berbeza ialah aspek peribadi dan aspek bukan peribadi. Aspek peribadi ialah perhubungan individu dengan individu yang lain, hubungan kekeluargaan, rakan sebaya, sahabat karib, pekerja, dengan majikan, rakyat dengan golongan istana dan sebagainya. Aspek bukan peribadi pula adalah bukan bersifat peribadi seperti antara penulis dengan pembaca, penghasil dan pembaca akhbar, penyajak dengan pembaca dan sebagainya.

Unsur yang ada dalam situasi persekitaran bagi menentukan laras bahasa termasuklah bahan yang diperkatakan. Bahasa yang digunakan adalah meliputi aspek yang luas iaitu meliputi perkara-perkara biasa seperti perbualan tentang makanan, pakaian, kesihatan dan sebagainya serta termasuk perkara-perkara khusus seperti dalam bidang sains dan teknologi, perubatan, astronomi, geologi dan sebagainya.

Ciri lain dalam mengenal pasti laras bahasa ialah tentang fungsi-fungsi sosial perlakuan bahasa. Aspek perlakuan sosial termasuklah bahasa untuk menyampaikan maksud seperti menggunakan bahasa dalam upacara-upacara tertentu seperti majlis akad nikah, jual beli, dan sebagainya. Terdapat juga situasi yang menggunakan bahasa yang berlainan yang dihasilkan oleh interaksi seperti jenis perbualan, iaitu orang yang terlibat dalam perbualan dan peranan situasi-situasi tersebut dalam masyarakat.

Empat ciri-ciri situasi persekitaran menimbulkan laras yang berlainan dan terdapat hubungan yang erat diantaranya. Hal ini adalah disebabkan interaksi antara kedua-dua pihak menghasilkan laras.

Laras bahasa juga mempunyai ciri-ciri linguistik yang melibatkan unsur tatabahasa dan pemilihan perkataan atau leksis. Hal ini telah dijelaskan oleh Nik Safiah Karim (1982) dengan melihat ciri-ciri tata bahasa yang terdapat dalam susunan ayat dan frasa dalam laras bahasa. Nik Safiah berpendapat, tatabahasa yang disusun dengan cara tertentu akan menimbulkan laras bahasa yang mempunyai pengertian yang berbeza-beza. Ciri linguistik pula adalah berkait rapat dengan faktor sosial seseorang seperti latar belakang orang yang bercakap atau menulis.

Laras bahasa juga turut menunjukkan manipulasi unsur-unsur tatabahasa sesuai dengan wacana yang dibicarakan. Contohnya laras bahasa aspek fonologi, morfologi dan sintaksis yang meneliti penggunaan bunyi, pembentukan kata serta struktur dan binaan ayat.

5.0 Jenis-jenis Laras Bahasa

Laras dapat dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu, tajuk wacana, cara penyampaian wacana dan gaya wacana. Tajuk wacana adalah merangkumi bidang penggunaan bahasa seperti bidang Matematik. Cara penyampaian wacana ialah media perlakuan bahasa samada secara lisan atau bertulis. Gaya Wacana pula adalah bidang tentang perhubungan antara peserta perlakuan bahasa iaitu secara formal atau tidak formal.

Daripada tiga kategori utama ini, laras dapat dikenali berdasarkan penggunaannya dalam pelbagai situasi. Antara jenis-jenis laras ialah laras biasa atau laras umum, laras akademik atau laras ilmiah, laras perniagaan, laras perundangan, laras sastera, laras iklan dan sebagainya.Hal ini kerana terdapat hubungan yang erat antara susunan bahasa dengan situasi-situasi disebabkan interaksi sehingga menghasilkan laras.

5.1 Laras Bahasa Biasa Atau Umum

Laras ini menggunakan bahasa yang tidak membabitkan sebarang bidang ilmu atau konteks khusus. Ia biasanya digunakan dalam perbualan harian. Laras biasa tidak menggunakan istilah atau pola yang khusus. Ciri-cirinya adalah bebas dan mudah difahami serta kurang terkawal dari aspek tatabahasa. Ia juga mempunyai unsur kemesraan seperti menggunakan ganti nama diri pertama seperti aku, cek, makcik , kak ngah dan sebagainya.

Laras bahasa biasa menggugurkan kata sendi nama seperti dari, daripada, di, akan dan hingga. Ia juga menggunakan ayat yang pendek dan ringkas, dan ada kalanya menggunakan imbuhan asing. Terdapat juga unsur ambiguiti atau kekaburan makna.

Contoh: Hai Mat! Nak ke mana tu? Singgahlah dulu!

5.2 Laras Perniagaan

Laras jenis ini digunakan untuk mengiklankan jenama barangan yang ingin dijual. Gaya bahasa yang digunakan biasanya memujuk pendengar supaya membeli barangan menerusi cara penyampaian yang amat menarik. Ayat yang digunakan pendek-pendek dan tidak gramatis.

Contoh : Percuma, sebuah telefon bimbit Samsung dengan setiap pembelian sebuah LCD Skrin Televisyen Pensonic.

5.3 Laras Akademik

Laras akademik boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian berdasarkan bidang ilmu yang diperkatakan. Antaranya laras bahasa sains, laras ekonomi, laras sastera dan sebagainya. Laras ini kemudiannya terbahagi pula kepada beberapa sub-bidang yang terdapat dalam sesuatu bidang akademik. Misalnya dalam bidang sains, terdapat laras kimia, biologi dan fizik.

Dalam bidang akademik, laras yang digunakan mudah dikesan dengan kehadiran istilah-istilah teknikal dan khusus yang berkaitan dengan bidang berkenaan. Contohnya dalam bidang ekonomi terdapat istilah-istilah khusus seperti permintaan, penawaran, kos, modal, buruh dan susut nilai. Contoh laras sains dalam bidang kimia : Air terhasil daripada kandungan hidrogen dan oksigen (H2O).

5.4 Laras Undang-undang

Laras undang-undang merupakan salah satu daripada laras ilmiah yang terdapat dalam bahasa Melayu sejak zaman dahulu lagi. Walau bagaimanapun, pada masa sekarang laras undang-undang lebih bersifat moden dan banya menggunakan istilah teknikal. Contoh : Defenden membantah pada awal prosiding kerana tidak bersetuju dengan cadangan plaintif untuk mengemukakan saksi-saksi yang dikatakan tidak relevan dengan perbicaraan berkenaan.

5.5 Laras Media Massa

Laras media massa kurang mementingkan gaya atau nahu, khususnya penggunaan imbuhan dan kata hubung. Bahasa yang digunakan bersahaja dan bersifat melaporkan sesuatu peristiwa yang berlaku. Bahasanya juga ringkas dan mengandungi berita yang maksimum untuk dipaparkan kepada pembaca dan penonton.

Contoh : Pasukan hijau kuning telah memalukan pihak lawan apabila pasukan Kelantan dikalahkan di gelanggang sendiri dengan jaringan dua gol berbalas satu.

5.6 Laras Sastera

Seperti laras-laras bahasa yang lain, laras bahasa sastera juga mementingkan istilah-istilah khusus dan teknikal. Bezanya, bidang yang diperkatakan itu ialah mengenai bahasa dan kesusasteraan serta hubungan antara kedua-duanya.

Contoh : Apabila berbicara mengenai kesusasteraan, kita sebenarnya akan membincangkan beberapa aspek seperti tema, kronologi, mesej, dan watak yang mengandungi unsur-unsur personifikasi dan metafora.

5.7 Laras Rencana

Laras rencana adalah laras bersifat umum yang menyentuh mengenai tajuk tertentu. Ciri utama dalam laras rencana ialah kepelbagaian idea mengenai sesuatu tajuk yang diperkatakan.

Contoh : Oleh kerana baru dilancarkan, kejayaan model terbaru Proton belum dapat diukur sepenuhnya. Pelbagai aspek seperti pilihan pembeli, faktor rekabentuk, kemudahan mendapatkan alat ganti dan ketahanannya perlu diambil kira. Model terbaru ini pastinya berhadapan dengan pelbagai rintangan sebelum ia berkemampuan untuk menguasai pasaran dalam dan luar negara.

6.0 Kesimpulan

Laras bahasa pada umumnya dapat diterangkan sebagai cara penggunaan sesuatu bahasa. Asmah Hj. Omar (1984), berpendapat bahawa laras bahasa ialah khusus dalam penggunaan bahasa menurut bidang penggunaannya. Laras bahasa dalam situasi formal dan tidak formal adalah berbeza. Laras bahasa juga berbeza mengikut faktor geografi dan daerah. Laras bahasa juga adalah gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa iaitu variasi yang ada pada setiap penutur . Pemilihannya adalah tidak sama, berlainan dan berubah-ubah ikut situasi bergantung kepada masyarakat yang memilihnya dan membangkitkan kesedaran setiap anggota masyarakat tentang situasi sosial yang wujud.

6.1 Contoh Dan Ciri-ciri Laras Bahasa Perniagaan

6.1.1 Bidang

a) Biasanya digunakan dalam dunia korporat, khususnya bidang perusahaan, perindustrian, perakaunan, perbankan, perniagaan dan perdagangan.

b) Penggunaan bahasa Melayu yang terpaksa bersaing dengan bahasa Inggeris.

c) Penggunaan laras bahasa perniagaan dalam bahasa Melayu amat penting, khususnya dalam aspek komunikasi memandangkan ekonomi negara menjelang abad ke-21 akan berasaskan perindustriaan dan perusahaan.

6.1.2 Perbendaharaan Kata

agihan jualan agensi pemasaran baki debit

anggaran kos francais cek palang

harga tetap eksport saham

urus niaga kredit komposit

6.1.3 Tatabahasa

a) Morfologi (Kajian terhadap perkataan)

- Kata tunggal menjadi kata khusus

Contohnya :

Kata umum Istilah

wang kewangan

ratus peratus

lebih lebihan

pasar pasaran

pegang pemegang

dagang dagangan

6.1.4 Akronim

Contohnya:

EPU - Unit Pembangunan Ekonomi

EON - Edaran Otomobil Berhad

BSN - Bank Simpanan Nasional

BSKL - Bursa Saham Kuala Lumpur

6.1.5 Kata Majmuk

Contohnya :

kos jualan modal tetap harta semasa

untung bersih lebih asset sebut harga

6.1.6 Ayat Aktif dan Pasif

Contohnya:

a) Ayat aktif

KDNK merupakan petunjuk ekonomi yang paling penting

b) Ayat pasif

Kesan terus dirasai oleh pengeluar kereta yang meletakkan harga jualan yang tinggi.

6.1.7 Gaya Bahasa

a) Berbentuk ilmiah, iaitu laras bahasa yang mengungkapkan ilmu.

b) Bersifat formal dan mempunyai perkataan, istilah, susunan frasa, dan ayat yang baik, sesuai serta tepat yang boleh menyampaikan maksud dan membawa pengertian.

c) Banyak menggunakan jadual, graf dan carta, graf statistik dan sebagainya.